Sunday, August 28, 2011

Hidupkan Malam Raya

Hidupkan Malam Raya PDF Print E-mail
Hari Raya atau eid bermakna kembali. Jadi, Aidilfitri bermaksud kita kembali kepada fitrah asal manusia iaitu suci sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w," Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).Maka ibu bapanyalah yang meng'Yahudi'kan,atau meng'Nasrani'kan atau me'Majusi'kannya."
Dalam keseronokan berhari raya, jangan kita lupa bahawa sambutan Aidilfitri juga adalah ibadat. Justeru, beberapa amalan sunat perlu diutamakan di sebalik kesibukan menukar langsir baru atau memenuhkan meja makan dengan pelbagai juadah.

Bertakbir
Pada malam hari raya, hendaknya ia diisi dengan amalan bertakbir. Biar tangan sibuk bekerja merebus ketupat dan masak rendang tetapi lidah kita sentiasa basah dengan lafaz takbir. Takbir bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah.
Aidilfitri bermula apabila terbenam matahari hari terakhir Ramadan (mulai waktu Maghrib) sehingga mula solat sunat hari raya.
Galakan bertakbir disebut secara jelas menerusi firman Allah yang bermaksud: "...Hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, semoga kamu bersyukur". (al-Baqarah: 185).
Malangnya, amalan ini kurang popular terutama di kalangan generasi muda. Ramai daripada golongan ini memilih untuk berkumpul di tepi-tepi jalan, menghisap rokok dan menunggang motosikal. Malah, ada juga yang merempit pada malam hari raya.
Selain bertakbir, kita juga disunat menghidupkan malam raya dengan ibadat lain seperti tilawah al-Quran, solat, tasbih dan istighfar. Ingatlah sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(Riwayat Ibn Majah).
Bersalaman dan bermaafan
Sudah menjadi amalan masyarakat kita untuk mengambil kesempatan Aidilfitri bagi memohon maaf antara satu sama lain. Tidak ada salahnya berbuat demikian, cuma kita bimbang umat Islam hanya menunggu hari lebaran baru mahu bermaaf-maafan. Sepatutnya amalan tersebut bermula sejak kita menyambut Ramadan lagi.
Ingatlah kisah Baginda SAW dan isterinya, Saidatina Aisyah r.anha sewaktu Rasulullah s.a.w pergi berdakwah kepada masyarakat jin. Sebelum keluar rumah, Aisyah berjanji akan menunggu kepulangan Baginda walaupun dilarang oleh Rasulullah.
Dipendekkan cerita, disebabkan terlalu banyak pertanyaan oleh para jin, maka Rasulullah SAW terlewat pulang ke rumahnya.
Setibanya di rumah, Baginda memberi salam tetapi tiada jawapan. Selepas beberapa kali berbuat demikian, maka Baginda pun memutuskan untuk tidur di hadapan pintu rumah kerana menjangkakan isterinya sudah tidur.
Tidak lama kemudian, Aisyah yang terjaga daripada tidur bergegas berlari membuka pintu. Akibat tergesa-gesa, nyaris Aisyah terpijak pipi Rasulullah yang tertidur tadi menyebabkan Baginda terjaga.
Namun, sesuai dengan firman Allah bahawa Rasulullah itu adalah contoh teladan terbaik, kisah itu berakhir dengan kedua-dua pihak memohon kemaafan. Aisyah terlebih dahulu mohon maaf kerana tertidur menyebabkan Baginda terpaksa tidur di luar. Baginda SAW juga turut minta maaf kerana pulang lewat.
Amalan
Begitulah indahnya Islam yang mengajar umatnya sentiasa mengakui kesilapan dan segera memohon maaf. Bukannya menunggu masa atau tarikh-tarikh tertentu berbuat demikian.
Satu lagi kebiasaan masyarakat Melayu ialah amalan bersalam-salaman semasa hari raya.
Ia adalah sifat mulia sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "Tidaklah dua orang Islam bertemu saling bersalaman dan berjabat tangan melainkan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan 'matlamat menghalalkan cara'. Amalan ini perlu ada batasnya yang perlu menjaga adab-adab Islam seperti tidak bersalaman dengan golongan yang bukan mahram walaupun mempunyai pertalian darah seperti sepupu, ipai duai serta waris kerabat yang berlainan jantina. Kekadang mereka menggunakan alasan untuk beraya dengan bersalam sedangkan walaupun keluarga terdekat ia dikira tetap mahram.
Menunaikan zakat
Satu lagi kefarduan yang mesti ditunaikan adalah membayar zakat fitrah. Jangan menunggu sehingga saat akhir pada pagi sebelum solat hari raya baru hendak membayarnya. Tunaikan seawal mungkin supaya rukun Islam keempat itu dijelaskan.
Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang- orang miskin". (Riwayat Abu Daud).
Kelewatan menunaikan zakat menyebabkan ia tidak diterima dan hanya dianggap sedekah yang perlu diqada pada tahun berikutnya.
Solat sunat Hari Raya
Dalam banyak amalan solat, mungkin solat Hari Raya paling digemari oleh semua Muslim. Sebabnya walaupun ada di kalangan umat Islam yang tidak cukup solat fardu lima waktu sehari dan solat Jumaat pun hanya sekali-sekali, namun solat Hari Raya tidak pernah ditinggalkan.
Solat Aidilfitri hukumnya sunat muakad yang amat dituntut oleh Baginda SAW supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.
Dalam menunaikan solat ini, kita disunatkan memakai pakaian tercantik dan bersih. Baginda SAW turut makan sedikit sebelum keluar solat Aidilfitri. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW: "Adalah Nabi SAW tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar." (Riwayat Bukhari)
Dalam kesempatan Aidilfitri, serikanlah ia dengan amalan ziarah-menziarahi. Rasulullah pernah bersabda, "Wajib kasih sayangku kepada orang-orang yang ziarah menziarahi keranaku". (Riwayat Ahmad).
Pada hari raya, hendaklah kita mengamalkan kesederhanaan termasuklah dalam bab makan-minum. Jangan pula kita amalkan, 'pantang jumpa' habis dimakan semuanya.
Sebab itu diriwayatkan seorang tabib Arab berkata, perut adalah rumah penyakit dan berpantang adalah kepala segala ubat.
 

Sunday, August 21, 2011

Ya Ramadhan

Ramadhan bakal meninggalkan kita, sejumlah pertanyaan patut direnungkan setiap jiwa yang selalu mengharap ampunan dan keredhaan Rabb-Nya. Bukankah Ramadhan bulan yang membawa rahmat? Sudahkah rahmat Allah yang amat luas melapangkan rongga-rongga dada yang sesat dengan tumpukan noda dosa dan maksiat?
Ramadhan membawa maghfirah (ampunan), adakah seberkas percikan cahaya kesadaran dan tetesan air mata taubat karena khasyyah (takut) membasahi pipi merasakan kelembutan Ilahi? Ramadhan Syahrul Qur'an, manakah ayat-ayat Ilahi yang merobek-robek singgasana kesombongan dan melebur kebekuan hati?
Apakah kita masih melakukan perkara-perkara yang mencacatkan pahala puasa? Apakah puasa kita layak diberi ganjaran pahala oleh Allah?  Atau kita hanya mendapat lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?
Sesungguhnya hanya diri kita sendiri yang dapat menilai kualiti ibadah puasa yang telah kita lakukan. Ini kerana ibadah puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya.
Sabda Rasulullah s.a.w. :  مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan  akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu
(H.R. Bukhari dan Muslim )

Ramadhan itu nikmat

Salah satu hikmah diwajibkan berpuasa adalah untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 183 :Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa."
Berdasarkan Firman Allah ini, jelaslah kepada kita bahawa kesan puasa bagi orang yang beriman ialah bertambah ketaqwaan kepada Allah. Justeru, setelah hampir sebulan kita berpuasa, apakah kita merasai taqwa kita bertambah atau berkurang?
Apakah jiwa kita semakin bersemangat membanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringankan ibadah?
Apakah pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ini, kita semakin banyak membaca al-Quran,  banyak bersedekah,  beriktikaf,  banyak berzikir dan beristiqfar? Ataupun pada sepuluh hari terakhir Ramadhan ini,  kita habiskan masa dengan membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan,  meninggalkan sembahyang terawih,  kurang membaca al-Quran dan berbual-bual kosong sehingga melupakan kelebihan di akhir Ramadhan?
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّـهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (Agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Surah Muhammad 47: Ayat ke 7)

1000 bulan

Lailatul Qadar adalah malam yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. dan tiada siapa yang tahu bila berlakunya malam tersebut walau diri Baginda sendiri. Sungguhpun demikian, Baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyak dan mempertingkatkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil pada akhir Ramadhan.
Lailatul Qadar anugerah untuk Umat Muhamad
Lailatul Qadar adalah malam yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. dan tiada siapa yang tahu bila berlakunya malam tersebut walau diri Baginda sendiri. Sungguhpun demikian, Baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyak dan mempertingkatkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil pada akhir Ramadhan. Sabda Baginda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari :
"تَحَرَّواْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ".
Maksudnya :  "Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan." (Hadis riwayat bukhari )
Justeru, langkah terbaik supaya kita tidak terlepas peluang keemasan malam tersebut hedaklah kita terus beristiqamah melakukan amal ibadah dan memperbanyakkan lagi pada sepuluh malam terakhir terutama pada malam-malam ganjil. Janganlah pula kita terlalu sibukkan diri dengan mementingkan persediaan menyambut hari raya sehingga melupakan dan meringan-ringan amal ibadah .
"تَحَرَّواْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan
(H.R. Bukhari )

Pencarian Lailatulqadar bermula

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadhan yang dirindui oleh para kekasih Allah S.W.T. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadhan yang menandakan Ramadhan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.


Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada. Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat Ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya. Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadhan dan Aidil Fitri yang belum selesai. Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadhan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadhan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini.
Keutamaan lailatul qadar
Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadhan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar. Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.
Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah S.W.T yang 'haram' dilepaskan. Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.
Benarlah pesan Rasulullah S.A.W bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan (daripada mendapat segala kebaikan)".
Memang Lailatul Qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana Lailatul Qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu. Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang. Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama Lailatul Qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.
Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut. Oleh itu memburu Lailatul Qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah S.W.T kepada kita.
Mendapatkan lailatul qadar
Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, Lailatul Qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha. Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah S.A.W sendiri dan para ulama pewaris Baginda S.A.W tentang mengenalpasti malam Lailatul Qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.
Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadhan.
Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya Lailatul Qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya. Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, Lailatul Qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadhan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.
Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan Lailatul Qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.
Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam Lailatul Qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba/ bahagian daripadanya (Lailatul Qadar)".
Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan Lailatul Qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut. Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan Lailatul Qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadhan.
Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai. Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi S.A.W untuk Lailatul Qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, sukakan keampunan maka ampunilah aku".
Walaupun pintu untuk kita menghayati Lailatul Qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadhan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam. Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadhan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati Lailatul Qadar.
Menghantar Pulang Tetamu Agung
Ramadhan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi. Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.
Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah S.W.T selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah S.W.T menerima amalan mereka di bulan Ramadhan yang berlalu.
Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadhan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadhan kali ini bersisa sedikitpun. Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadhan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.
Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".
"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".
(Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
( Hadis Riwayat Bukhari )

Anugerah Untuk Umat Muhammad

Sesungguhnya masih belum terlewat untuk kita kembali memanfaatkan bulan Ramadhan ini dengan mengamalkan amalan-amalan berikut :
Berusaha mendapat kelebihan Lailatul Qadar dan keberkatan-Nya terutama pada malam sepuluh terakhir Ramadhan.
Berusaha membanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadhan ini seperti sembahyang Terawih, membaca al-Quran, beriktikaf dan bersedekah.
Sentiasa memohan keampunan dari Allah dan pembebasan dari azab Api Neraka.
Menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah untuk diri dan tanggungannya kita.
Kita semua menyedari bahawa pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyambut awal Syawal atau hari raya semakin dirasai. Masing-masing sudah berkira-kira dan merancang perjalanan untuk pulang ke kampung atau membuat persiapan menyambut hari lebaran.
Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya. Ini kerana hari raya adalah hari kemenangan kita ummat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan Syaitan.
Cuma kita diberi peringatan agar jangan mengabaikan nilai dan roh Ramadhan sehingga seolah-olah ibadah puasa yang kita kerjakan langsung tiada memberi kesan yang baik kepada diri kita. Sewajarnya sembahyang Terawih yang dikerjakan setiap malam Ramadhan dapat membiasakan kita mengamalkan sembahyang-sembahyang sunat yang lain.
Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadhan juga sewajarnya menjadikan diri kita lebih sabar menjalani liku-liku kehidupan. Latihan kesabaran tersebut dapat membuang sikap panas baran, gopoh-gapah dan mementingkan diri sendiri yang mungkin menjadi kebiasaan kita sebelum ini.
Begitu juga, berpuasa dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّـهَ مَوْلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَأَنَّ الْكَافِرِينَ لَا مَوْلَىٰ لَهُمْ
Balasan yang demikian, kerana sesungguhnya Allah menjadi Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir: tiada sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka.
(Surah Muhammad 47: Ayat ke 11)

Berdoa pada LailatulQadar

Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:  "Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan Allah, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu."
Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr
Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu 'anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya: "Saya bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?" Maka ujar Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam:  "Katakanlah:
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini."
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ 3 فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ 4
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). [3] (Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). [4]
(Surah Ad-Dukhan 44: Ayat 3-4)

Istimewa Ramdhan

Kehidupan kita di dunia ini tidak bererti sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T dan lebih tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita lakukan tidak mendapat keampunan dari Allah SWT.
Maka bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T. Kerana itulah, kita dituntut agar mempertingkatkan amal bagi memperolehi keredhaan tersebut, terutama dengan memperbanyakkan amal ibadah di samping dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Hari ini merupakan bulan untuk kita umat Islam menunaikan ibadah puasa, kita berpuasa dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Begitu juga, bersamanya kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi dari godaan syaitan.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai."

(Hadis riwayat Ahmad)
Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah bagi orang yang berpuasa penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Sahli bin Sa'ad :
أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
[Surah Al-Baqarah 2: Ayat 184]